Baru-baru ini mahasiswa UPSI bangkit menuntut agar AUKU dimansuhkan. Perhimpunan ini bertukar menjadi buruk apabila berlaku campur tangan polis. Beberapa orang mahasiswa telah ditangkap dan diseret ke lokap. Perkara ini seperti biasa menjadi cemuhan segelintir masyarakat yang merupakan hasil acuan AUKU. PENAKUT. Mereka mengatakan ia adalah 'Rasional'.
Golongan yang mencemuh dan mengejek perjuangan mereka adalah golongan hasil daripada AUKU. Mahasiswa dilihat perlu belajar sahaja dan tidak perlu mengambil tahu atau bereaksi kepada perkara isu semasa. Hasilnya adalah golongan yang tahu belajar, cari kerja, kahwin, buat anak dan kemudian mati. Mereka mengatakan hanya undi sahaja yang adalah cara menukar kerajaan. Salah seorang hasil AUKU adalah saya. PENAKUT.
Mujurlah saya tidak termasuk di dalam golongan yang mengutuk dan mencemuh mereka. Saya memahami perjuangan mereka dan mengerti kepayahan dan cabaran mereka di dalam perjuangan ingin memansuhkan AUKU. Suatu undang-undang yang begitu mencengkam mahasiswa dan ahli akademik.
Persoalannya mengapa AUKU ini ingin dimansuhkan oleh mahasiswa yang sedar? (Yang tidak sedar pastinya terus hanyut dengan budaya hedonisme yang memabukkan mereka daripada mempedulikan apa yang berlaku kepada masyarakat.)
AUKU ini dilahirkan daripada insiden pengambilalihan UM oleh mahasiswa UM berikutan demonstrasi mengkritik kerajaan daripada kejadian kebuluran di Baling, Kedah. Pada ketika itu tidak terbayangkan sebuah negara yang makmur, subur sedang menghadapi permasalahan kebuluran!? Situasi ini menimbulkan kemarahan mahasiswa UM ketika itu.
Titik tolak sehingga diperkenalkan AUKU adalah kejadian pengambilalihan pengurusan universiti oleh PMUM. Pada ketika ini kerajaan menggunakan polis untuk menangkap mahasiswa yang terlibat dan memperkenalkan undang-undang AUKU untuk terus mencengkam pergerakan mahasiswa dari terus menyusahkan kerajaan.
Intipati AUKU adalah semua mahasiswa dan pensyarah universiti daripada terlibat di dalam sebarang kegiatan politik. Sedangkan demonstrasi mahasiswa ketika itu adalah kerana marahkan kerajaan yang gagal bertindak dengan segera tentang kejadian kebuluran di Baling, Kedah ketika itu.
Kesan terus daripada AUKU ini adalah selepas daripada itu semua mahasiswa dihadang untuk berdemonstrasi secara aman apatah lagi secara agresif. Malah badan pengurusan universiti sentiasa menggunakan akta ini untuk menakut nakutkan mahasiswa di dalam sebarang bentuk ekspresi penentangan kepada polisi universiti ataupun kerajaan. Malah sebarang bentuk penentangan atau kritikan kepada polisi kerajaan akan menyebabkan anda dilebelkan sebagai berpihak kepada golongan pembangkang atau diresapi ideologi kiri seperti komunisme.
Sedangkan kritikan yang diberikan adalah suatu bentuk kritikan untuk menjadikan kerajaan lebih peka kepada rungutan dan rintihan rakyat. Untuk menunjukkan ketidakadilan yang sedang berlaku yang meresahkan rakyat. Adakah salah untuk saya mengkritik kerajaan yang saya undi dan berikan kuasa. keadaan ini suatu bentuk mentaliti feudalisme menjadi kekangan. Pemimpin lebih tahu, kita perlu akur tanpa perlu berfikir panjang.
Perkara ini diperkenalkan oleh kerajaan yang kununnya ingin mahasiswa menumpukan perhatian kepada pengajian dan menamatkannya dengan cemerlang. Sedangkan sebab utamanya adalah melahirkan generasi yang penakut dan pengikut. Bukan berkepimpinan dan berani.
Kini generasi yang ada kini bukan generasi Merdeka. Mereka yang memimpin juga bukan memperjuangkan kemerdekaan akan tetapi sedang cuba mengisi kemerdekaan. Pengisian ini yang mahasiswa merasakan mereka sepatutnya turut diberikan ruang untuk melihat dan mengkritik.
Akan tetapi sudah menjadi resmi kerajaan yang ada kini sukar untuk menerima kritikan. Ini amat ketara sewaktu pemerintahan regim Tun Dr. Mahathir yang melihat sebarang kritikan adalah penentangan. Setiap penentangan harus dihapuskan. Perbezaan pendapat adalah tidak dibenarkan. AUKU juga merupakan idea beliau.
Kesimpulannya saya akan terus melihat perkembangan mahasiswa ini dengan penuh minat. Minat dengan harapan kalian akan berjaya dan suatu hari pada masa hadapan nanti anak saya akan ke universiti tanpa AUKU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment