Monday, November 16, 2015

KENAPA ALLAH MENCIPTAKAN MANUSIA?

Allah telah ditanya oleh Malaikat ketika ingin menciptakan Nabi Adam AS. Lalu Allah jawap aku tahu apa yang kamu tidak tahu. (Surah Al-Baqarah; ayat 30).

Apakah hikmah penciptaan manusia?

Sebelum itu kita lihat ciptaan manusia iaitu robot. Robot adalah sebuah mesin yang boleh menjalankan beberapa siri kerja yang mudah sehingga yang kompleks dengan arahan dan peraturan yang telah disediakan oleh seorang pengaturcara (programmer). Mesin ini tidak mengantuk, tidak penat, tidak lapar dan tidak tahu melawan arahan pengaturcaranya. Setiap arahan kerja akan dilakukan oleh robot tanpa bantahan. Perkara yang menghadkan keupayaan robot adalah binaan robot itu sendiri, maksudnya jika robot itu tidak dibina untuk berfungsi di dalam air ia tetap akan masuk ke dalam air jika diarahkan, namun ia akan rosak sebaik sahaja berada di dalam air. Betapa robot tidak dapat berfikir sendiri.

Kekurangan robot ini mejadi suatu bentuk cabaran kepada saintis untuk mencipta robot yang mampu berfikir sendiri. Jika kita tengok di dalam kes tadi, robot yang mempunyai kebolehan berfikir sendiri akan mengingatkan tuannya akan kekurangan ia untuk berfungsi di dalam air dan menasihati tuannya untuk membatalkan arahan ataupun memohon tuannya menukar arahan atau mungkin mengingkar tuannya! kebolehan untuk berfikir sendiri ini adalah dipanggil Artificial Intellegence (AI) atau Kesedaran Buatan. Ada orang menafsirkanya sebagai kepintaran buatan, namun saya lebih selesa memanggilnya Kesedaran Buatan kerana kepintaran yang dimaksudkan adalah kesedaran untuk membuat keputusan. Jika sesuatu itu tidak mempunyai kesedaran, ia tidak dapat membuat keputusan yang berupa menjaga kemashalatan dirinya seperti di dalam kes tadi.

Bila mana kita membicarakan tentang sifat robot dan sifat AI, kita mula nampak satu bentuk corak antara manusia dan malaikat, bukan? Malaikat adalah seperti penciptaan robot oleh manusia. Manakala penciptaan AI adalah seperti penciptaan Manusia oleh Allah. Manusia sungguhpun tidak sehebat penciptaan malaikat secara fizikalnya, namun kebolehan manusia untuk memilih (free will) menjadikan penciptaan manusia adalah lebih kompleks daripada penciptaan malaikat. Setiap manusia mempunyai aturcara hidup yang tersendiri, walaupun dasar aturcara manusia itu adalah sama namun persekitaran dan beberapa pemboleh ubah yang diberikan oleh Allah membentuk kesedaran seseorang manusia itu menjadi unik.

Manusia boleh memilih untuk menjadi baik atau kufur dengan akal yang dikurniakan oleh Allah. Tidak seperti malaikat yang hanya tahu menurut setiap perintah tanpa membantah. Jika mana diperintahkan oleh Allah untuk sujud selamanya, maka ia akan sujud selamanya. Jika diarahkan rukuk, maka rukuklah ia selamanya.

Manakala manusia jika kita lihat, kita ada yang taat dan ada yang berpaling dari Allah. Adakah ini menjadikan manusia suatu makhluk yang rawak? Setiap kejadian atau peristiwa yang berlaku terhadap seseorang manusia itu adalah rawak? Suatu teka teki yang hanya akan diketahui selepas keputusan telah dibuat?

Contohnya bila kita disuruh untuk memilih sama ada kita ingin balik ke rumah dan belajar atau ke padang untuk bersenam? Kedua-duanya baik, namun apakah keputusan ini bersifat rawak? Sekali lagi manusia ini sudah diprogramkan mengikut satu bentuk corak berdasarkan persamaan atau aturcara yang telah disetkan oleh Allah. Allah sudah tahu apa pilihan kita. Walaupun pada fikiran kita, kita membuat suatu keputusan itu sendiri, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Namun kecenderungan kita terhadap perkara di dalam hidup ini, kita sudah boleh menjangkakan apa keputusan yang bakal diambil. Fenomena ini digunakan oleh ahli silap mata untuk mempengaruhi kita untuk memilih pilihan yang tertentu.

Maka kita bolehlah katakan, kita bukanlah makhluk yang rawak. Malah kita adalah makhluk yang boleh dijangkakan (predictable). Jika kita mempunyai infomasi yang mencukup mengenai seseorang, kita mampu untuk menduga apa tindakan dan keputusan yang bakal diambil oleh seseorang di dalam sesuatu hal. Apatah lagi Allah yang Maha Mengetahui. Namun melihat manusia berinteraksi dengan manusia yang lain dan alam menjadi suatu bentuk hiburan bagi Allah.

Suka atau tidak itulah kita hamba Allah. Sungguhnya Allah mencintai kita, ciptaan Dia yang paling baik namun kita tetap ciptaan. Apapun yang diberikan kepada kita, senang atau susah itu adalah kuasa dan hak Allah sebagai pencipta dan tuan kita. Siapa kita untuk mempersoalkan Allah. Dia yang mencipta kita, Dia lebih mengetahui apa yang baik dan buruk buat kita. Contohnya di dalam kes robot yang ingin masuk ke dalam air tadi. Betapa dia seronok melihat kawan-kawan robotnya yang lain yang boleh berenang, ia tetap ditegah oleh penciptanya untuk masuk ke dalam air kerana ia akan memudaratkan dirinya. Jika robot tadi tetap berdegil, ia akan musnah. Jika ia taat, ia akan selamat.

Itulah perumpaan hubungan kita dengan Allah. Suka atau tidak, Allah lebih mengetahui. Kita perlu taat sahaja kerana dia lebih mengetahui penciptaan kita. Wallahhu 'alam. Moga Allah menjadikan aku hambaNya yang lebih baik dan dikurniakan dengan kematian yang baik.

No comments: